Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Amat menyedihkan apabila Malaysia mempunyai ramai graduan ijazah kelas pertama yang mampu menyumbang jasa kepada negara namun peluang pekerjaan yang bersesuai untuk mereka gagal diwujudkan kerajaan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, apa ertinya mempunyai ijazah yang berkualiti tetapi tidak mempunyai pekerjaan.

Jelas beliau, bagi mereka yang hendak menyambung pelajaran ke peringkat pascasiswazah juga menghadapi kesukaran kerana program MyBrain15 telah dimansuhkan dan menimbulkan dilema dalam kalangan para graduan.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) begitu hipokrit di mana pernah menjanjikan untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan gaji minima RM1,500. Realitinya kini kadar pengangguran masih tinggi dan graduan menjadi mangsa utama.

“Kini, golongan graduan merupakan kelompok masyarakat yang paling terbeban sejak kerajaan PH memerintah negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, walaupun negara memiliki jumlah graduan ijazah kelas pertama yang ramai, namun tahap pengangguran dalam kalangan belia juga didapati masih tinggi.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pendidikan mengalu-alukan kerjasama swasta-awam dalam membantu para graduan kekal relevan terhadap pasaran kerja dengan membekalkan mereka kemahiran yang tepat.

Sementara itu, Najmil menambah, ketika mentadbir negara, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mewujudkan Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dengan elaun RM 1,500 sebulan untuk para graduan lepasan universiti.

Selain itu katanya, dasar strategik BN seperti Projek pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) mampu mewujudkan 1.3 juta peluang pekerjaan jika diberi mandat untuk memerintah.

Tegas beliau, segala janji BN bukanlah sekadar retorik politik seperti PH kerana terbukti berjaya berdasarkan pencapaian lepas bahawa kerajaan BN mampu mengurangkan masalah pengangguran.

“Dengan menggunakan Program Transformasi Ekonomi sebagai hala tuju negara, sebanyak 679,300 pekerjaan berkemahiran tinggi disediakan sejak tahun 2010 sehingga 2016 hasil daripada usaha kerajaan BN.

“Kerajaan PH perlu berhenti mencipta alasan dan mula bekerja sebagai sebuah kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Kini, rakyat semakin tertekan kerana tiadanya penawaran peluang pekerjaan, kelembapan ekonomi, peningkatan kos sara hidup dan pelbagai lagi masalah sosial.

“Kerajaan PH terbukti gagal kerana tidak mempunyai dasar strategik untuk menyelesaikan masalah rakyat dan hanya mahir dalam mencipta alasan,” katanya. – MalaysiaGazette