Lewis Hamilton. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2019.

SOCHI – Pasukan Formula Satu (F1), Mercedes memecat empat kakitangannya dan mengenakan tindakan disiplin ke atas tiga lagi kakitangan selepas melakukan siasatan buli perkauman di kilang pasukan itu, lapor akhbar Britain.

Juara lima kali, Lewis Hamilton yang berketurunan Caribbean menentang isu rasis itu mengesahkan tentang pemecatan empat kakitangan tersebut menerusi satu kenyataan, lapor Reuters.

Pemecatan yang dilakukan pada 2 Ogos lalu ‘berikutan siasatan dalaman yang mengesahkan pelanggaran polisi kepelbagaian dan kesamarataan kami’.

“Kami mengutuk kelakuan ini sekeras-kerasnya dan bertindak segera terhadap aduan itu. Kami menghargai nilai kepelbagaian kakitangan kami dan ia merupakan sumber kekuatan pasukan kami,” tambah kenyataan itu.

Akhbar, Sun melaporkan terdapat ‘kempen buli perkauman’ terhadap kakitangan Muslim di ibu pejabat pasukan itu di Brackley.

Hamilton yang lantang memperkatakan tentang pengalaman perkauman yang dialami beliau menggesa lebih banyak tentangan dilakukan terhadapnya pada semua peringkat lapisan masyarakat selepas pemain bola sepak England dilaporkan diejek ketika menentang Montenegro pada perlawanan kelayakan Euro 2020 pada Mac lalu.

“Saya teringat samasa di bangku sekolah, tangan anda ditampar kerananya (perkauman) dan ia membolehkan anda untuk menggelongsor. Ia tidak sepatutnya berlaku di mana-mana. Tindakan sepatutnya diambil dan kita perlu lebih tegas,” kata Hamilton. = Agensi