Keadaan sebahagian lebuh raya di Guangdong yang runtuh. Foto Xinhua

GUANGZHOU – Angka kematian meningkat kepada 24 orang selepas sebahagian lebuh raya ekspres di wilayah Guangdong, selatan China, runtuh menyebabkan 20 kenderaan terjunam.

Sementara itu, 30 orang lagi sedang menerima rawatan hospital, dengan tiada seorang pun dalam keadaan mengancam nyawa, menurut kerajaan bandar Meizhou di wilayah itu.

Xinhua melaporkan, kejadian itu berlaku sekitar 2:10 pagi di Lebuhraya Meizhou-Dabu di Meizhou.

Bahagian yang runtuh itu sepanjang 17.9 meter dan meliputi kawasan seluas 184.3 meter persegi.

Gambar dari udara menunjukkan satu sisi lebuh raya itu runtuh, menyebabkan kenderaan jatuh menuruni cerun.

Insiden itu tidak melibatkan sebarang kenderaan besar atau yang mengangkut bahan kimia berbahaya. – Agensi