NEW DELHI – Beribu-ribu pelajar daripada hampir 100 buah sekolah di sini terpaksa dipindahkan selepas ancaman bom palsu dihantar melalui e-mel.

Setakat ini ancaman itu dianggap satu penipuan selepas tiada sebarang bom ditemui.

Polis berkata, pihaknya sedang mengesan e-mel berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri dan Polis New Delhi telah meminta orang ramai bertenang.

Ssekolah di New Delhi dan pinggir bandar yang menerima ancaman bom telah dikepung ketika operasi mencari sedang dijalankan.

Perkhidmatan Bomba di bandar itu berkata, pihaknya menghantar jentera bomba ke sekolah tetapi tidak menemui apa-apa.

“Skuad anjing, dan unit pemusnah bom juga sedang mengesan (bom) dan kami akan cuba menghalang sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku,” kata jurucakapnya.

Seorang pegawai kanan polis New Delhi memberitahu, beberapa hospital di ibu negara juga telah menerima ancaman serupa pada hari Selasa oleh seseorang untuk menimbulkan panik.

“Tiada apa-apa yang tidak diingini ditemui setakat ini,” katanya kepada agensi berita ANI.

Menteri Pendidikan New Delhi Atishi berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan polis dan sekolah untuk memantau keadaan. – Agensi