KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri melahirkan kesedihan dengan berita pemergian jirannya yang berbangsa Cina.

Dr. Zulkifli berkata, hidup dengan kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia adalah nikmat Allah SWT untuk penduduk negara ini manfaatkan bersama demi menbina masa depan negara yang lebih harmoni.

“Bagi yang mengikuti saya sejak beberapa tahun lepas di media sosial, mungkin mengenali mendiang Pakcik Choong atau pemilik nama sebenar Choong Kooy Choon yang selalu menghadiahkan saya pelbagai haiwan peliharaan beliau kerana kami berkongsi hobi yang sama,” katanya melalui hantaran Facebook hari ini.

Menurut Dr. Zulkifli, setiap kali Tahun Baru Cina, beliau tidak pernah lupa menghadiahkan kek untuk jirannya itu.

Malah, tambah Mufti Wilayah Pesekutuan itu, Pakcik Choong sudah pasti membalasnya dengan beberapa kotak limau Mandarin.

“Terima kasih Allah SWT kerana menghadirkan mendiang Pak Choong dalam hidup saya, mencipta kenangan indah bersama dan membenarkan lagi keimanan saya bahawa kita semua asalnya daripada nenda yang sama iaitu Adam dan Hawa

“Firman Allah SWT:⁣ ‘Hai manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang wanita, lalu menjadikan kamu semua berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu semua saling mengenali’,” katanya. ⁣- MalaysiaGazette