Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Saksi ke-9, bekas ketua pegawai eksekutif Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang kemudian dijenamakan kepada 1Malaysia Development (1MDB) mengakui tidak mengetahui beberapa perkara tentang perjalanan dana tersebut.

Antaranya, kata Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, beliau tidak pasti seandainya pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd. (TEHSB) itu telah membawa sebarang keuntungan kepada 1MDB.

Shahrol juga mendakwa tidak akan sesekali meluluskan sebarang pinjaman dana sebanyak AS$577 juta (RM2.1 bilion) yang dibayar oleh firma pelaburan negara kepada Aabar Investments PJS Limited (BVI) sekiranya tahu wang itu akan diselewengkan.

Wang itu sebagai deposit keselamatan bagi syarikat induk Aabar, International Petroleum Investment Company (IPIC) untuk mengeluarkan jaminan bagi bon yang diterbitkan.

Malah Shahrol juga mendakwa langsung tidak tahu apa yang telah berlaku kepada wang tersebut ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebentar tadi.

Selain itu, Shahrol juga mendakwa tidak tahu tentang syarikat ‘Aabar palsu’ telah menggunakan alamat sebenar oleh Aabar Investment PJS Limited yang dipercayai berpangkalan di Abu Dhabi.

Shahrol menjelaskan syarikat Aabar palsu menggunakan alamat Aabar sebenar yang berpangkalan di Abu Dhabi ketika menandatangani ‘Collaboration Agreement for Credit Enhancement’ dengan 1MDB pada tahun 2012.

“Ketika itu saya yakin menandatangani perjanjian itu pada 12 Mei 2012 kerana tidak banyak perbezaan nama syarikat berkenaan malah ianya menggunakan alamat Aabar sebenar di Tingkat 187, Bangunan Kementerian Tenaga, Jalan Corniche, PO Bx 107888, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

“Sebelum ini saya pernah ke alamat ini untuk berurusan dengan IPIC dan Aabar sebenar. Jadi ia menggunakan alamat IPIC dan Aabar yang sah, manakala singkatan yang digunakan dalam perjanjian ini adalah ‘Aabar Investments’.

“Saya langsung tidak perasan sama sekali bahawa ia adalah syarikat yang berbeza iaitu Aabar Investments PJS Ltd (British Virgin Islands).”

Shahrol mendakwa hanya menyedari bahawa terdapat perbezaan antara Aabar sebenar dan Aabar palsu, di mana syarikat palsu itu mempunyai perkataan ‘Limited’ setelah skandal 1MDB tersebar luas.

Shahrol juga menjelaskan tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai struktur kewangan yang dibentangkan oleh Goldman Sachs kepada Ahli Lembaga Pengarah 1MDB berhubung perjanjian antara 1MDB Energy Limited dengan Aabar Investment PJS Limited.

Alasan Shahrol ialah ketika itu beliau lebih fokus kepada pegangan saham yang dibentangkan oleh Goldman Sachs yang menunjukan 1MDB kekal sebagai pemilik saham majoriti 1MDB Energy selepas tawaran awam permulaan (IPO).

Namun pada masa, dakwa Shahrol dirinya ‘sedap hati’ kerana perkara tersebut pernah dinyatakan oleh Low Taek Jho atau Jho Low dalam nota maklumat yang diberikan kepadanya sebelum ini.

Shahrol juga membuat andaian perkara tersebut turut diketahui oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perbicaraan sedang berjalan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada masa ini. –MalaysiaGazette