KUALA LUMPUR – Sebanyak AS$790.3 juta (RM3.1 bilion) wang lebihan deposit sekuriti daripada pengambilalihan ekuiti Genting Sanyen (M) Sdn Bhd oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa diselewengkan Low Taek Hjo atau Jho Low.

Saksi ke-9, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB mendakwa ahli perniagaan dalam buruan berperanan dalam mengawal wang lebihan tersebut.

Dakwa Shahrol, wang yang masuk ke akaun dikawal Jho Low sebelum dimasukan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah katanya, proses pengambilalihan syarikat itu pula dilakukan secara tergesa-gesa dibandingkan dengan pengambilalihan Tanjong Energy Holding Sdn Bhd (TEHSB) oleh 1MDB.

“Pengambilalihan Genting Sanyen dilaksanakan melalui pembiayaan pinjaman jangka pendek (bridging loan) berjumlah RM700 juta dan terbitan bon berjumlah AS$1.75 bilion.

“Pembayaran deposit sekuriti itu dibuat secara ‘good faith’ berdasarkan dokumentasi disediakan peguam 1MDB , Jasmine Loo Ai Swan, bekas pengarah kewangan 1MDB dan CEO Goldman Sachs Global, Tim Leissner.

“Hanya selepas penyiasatan barulah saya tahu yang deposit sekuriti itu diaturkan oleh Jho Low untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan yang seterusnya dimasukkan ke dalam akaun milik Najib,” dakwanya.

Shahrol berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah dalam perbicaraan penyelewengan dana sebanyak RM2.3 bilion selain 21 pertuduhan lain membabitkan penggubahan wang serta salah guna kuasa oleh Najib ketika masih bergelar Perdana Menteri.

Selain daripada ini, Shahrol berkata, Jho Low mendakwa usahasama antara 1MDB dengan Aabar Investment PJS Ltd memberi ‘kesan besar’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Bagaimanapun kata Shahrol, beliau tidak bertanya kepadanya dengan lebih lanjut apakah maksud kesan besar itu.

“Saya tidak tanya lanjut sebaliknya hanya menyimpulkan pengumpulan dana itu pastinya mempunyai kaitan dengan PRU-13 ketika itu,” ujarnya.

Shahrol merujuk kepada Resolusi Pekeliling Pengarah 1MDB (DCR) yang diluluskan pada 25 Februari 2013 untuk membentuk usahasama dengan Aabar untuk pelaburan global.

Shahrol berkata, usahasama berjumlah AS$6 bilion (RM25.1 bilion) itu melibatkan pembahagian 50:50 antara 1MDB dan Aabar.

Selain itu, Shahrol juga mendedahkan bagaimana Jasmine bekerja rapat dengan Jho Low selain mengambil arahan daripadanya selain mentafsirkan ia juga adalah mandat Najib. –MalaysiaGazette