Bo Lingam

KUALA LUMPUR – AirAsia akan melaksanakan pengurangan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) di klia2 dan lapangan terbang antarabangsa lain di Malaysia mulai esok.

Ini susulan pengumuman yang telah dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada bulan lepas setelah kabinet bersetuju menurunkan kadar PSC bagi para tetamu yang terbang ke destinasi luar ASEAN kepada RM50 berkuatkuasa 1 Oktober 2019.

“Kami menghormati sepenuhnya keputusan kabinet dan berdasarkan pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, kami akan melaksanakan pengurangan PSC bermula 1 Oktober 2019,” kata Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan) Bo Lingam.

Lapangan terbang merupakan hak milik kerajaan dan kabinet sememangnya mempunyai kuasa dalam melaksanakan penurunan PSC, katanya.

Keputusan kabinet untuk menurunkan PSC kepada RM50 menunjukkan bahawa caj yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) adalah kadar maksimum dan bukannya kadar tetap, dan ianya konsisten dengan kenyataan oleh MAVCOM sebelum ini.

Justeru, pengenaan PSC yang lebih rendah ini tidak perlu lagi diwartakan sebelum dilaksanakan pada 1 Oktober 2019.

Sebagai tanda terima kasih kepada para tetamu dan penyokong AirAsia, syarikat itu akan menawarkan promosi shared prosperity selama 23 jam sahaja pada 1 Oktober 2019.

Para penumpang boleh menikmati diskaun sebanyak 23 peratus untuk semua tempat duduk bagi destinasi di luar ASEAN termasuk Tianjin, Melbourne, Seoul, Jaipur, Tokyo dan Taipei, untuk perjalanan segera sehingga 9 Februari 2020.

Promosi shared prosperity ini boleh didapati di laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia serta termasuk tempahan hotel.

Selain itu, tetamu juga boleh mendapat diskaun istimewa untuk semua barangan cenderahati dan bebas cukai di ourshop.com. – MalaysiaGazette