Putera Mahkota, Mohammed bin Salman. foto Agensi

WASHINGTON – Putera Mahkota Arab Saudi memberi amaran bahawa harga minyak boleh meningkat kepada “angka yang tidak dapat dibayangkan” jika dunia tidak bersama menghalang Iran.

Bagaimanapun, beliau berkata, Arab Saudi lebih suka memilih penyelesaian politik berbanding menggunakan tentera.

Beliau berkata demikian dalam rancangan CBS ’60 Minutes’ selepas loji penapisan minyak mentah milik Aramco diserang oleh dron pada 14 September lalu.

“Jika dunia tidak mengambil tindakan kukuh dan tegas untuk menghalang Iran, kita akan melihat peningkatan selanjutnya yang akan mengancam kepentingan dunia,” kata Mohammed bin Salman sambil memberi amaran bahawa bekalan minyak akan terganggu dan harga minyak akan melonjak kepada jumlah yang tidak dapat dijangkakan.

Putera Mahkota itu, dalam wawancaranya turut bersetuju dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo bahawa serangan pada 14 September yang merosakkan kemudahan pemprosesan petroleum terbesar dunia hingga menjejaskan lebih dari 5% bekalan minyak global adalah tindakan perang oleh Iran.

Tetapi beliau lebih suka resolusi aman kerana perang antara Arab Saudi dan Iran akan meruntuhkan ekonomi global.

Amerika Syarikat, Eropah dan Arab Saudi telah menyalahkan Iran dalam serangan tersebut meskipun Tehran menafikan sebarang pembabitannya.

Namun, pemberontak Houthi mengaku bertanggungjawab.

Mohammed bin Salman berkata, Presiden Donald Trump patut bertemu dengan Presiden Hassan Rouhani untuk melaksanakan perjanjian baharu berhubung program dan pengaruh nuklear Iran merentasi Asia Barat.

Usaha untuk membawa kedua-dua mereka bersama minggu lepas di Perhimpunan Agung PBB gagal.

Ketegangan antara Washington dan Tehran telah meningkat selepas penarikan perjanjian nuklear Iran oleh Amerika Syarikat  dan pelaksanaan semula sekatan terhadap Tehran. – MalaysiaGazette