Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) dan beberapa universiti awam didakwa menjadi alat ahli politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila mahu menganjurkan Kongres Maruah Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga kini tiada pihak boleh menjelaskan tujuan kongres itu dibuat serta matlamat yang ingin dicapai.

Beliau turut mempersoalkan mengapa UM dan dan IPTA lain tidak bersungguh atau serius dalam mempromosi kongres tersebut melainkan kongres itu didalangi sekutu politik, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sejak bila IPTA harus memikirkan tentang maruah bangsa Melayu? Bukankah tugas dan fokus nasional IPTA adalah membangun, meneroka dan mengembangkan ilmu? Bukannya menjadi juara orang Melayu dan kemaslahatannya secara eksklusif.

“Politik dan maruah orang Melayu adalah tanggungjawab moral orang politik dan parti politik bangsa Melayu. Bukan tugas kalian secara khusus,” katanya menetusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Khaled lagi, sekalipun IPTA ingin dilibatkan dalam mengembalikan maruah orang Melayu yang tercalar sejak PH memerintah, tugas IPTA harus berkisar pada tindakan memaklum atau berkongsi dapatan-dapatan tentang kebolehsaingan bangsa Melayu.

Namun katanya, parti politik dan pemerintahlah yang harus menggunakannya dengan menampilkan dasar dan program yang wajar.

“Percayalah, jika IPTA memikul desakan ini sekarang, tidak mustahil selepas ini akan ada pula desakan-desakan yang lebih lantang untuk IPTA menganjurkan pula Kongres Maruah Cina, atau India, atau peribumi Sabah dan Sarawak.

“Pada saat itu, IPTA akan kehilangan kawalan terhadap fokus dan tanggungjawab akademiknya yang lebih mustahak,” ujarnya.

Tambah beliau, IPTA akan dilihat gagal dalam tanggungjawabnya untuk tanahair ini yang sepatutnya neutral dan tidak berkepentingan politik.

Malah, perkara yang lebih memalukan ialah apabila IPTA akan dilihat menjadi tali barut Bersatu demi mengemukakan agenda politik yang mereka sendiri tidak berani dan sanggup nyatakan secara tegas dan terbuka.

“Kekallah sebagai menara gading kebanggaan semua. Jangan tukarkan diri anda menjadi taman ‘bunga raya’ yang semakin kecut dan layu,” katanya.

Menerusi poster yang tersebar di laman sosial, Kongres Maruah Melayu dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober depan, di Axiata Arena Bukit Jalil.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka memberikan amanatnya dalam kongres tersebut. – MalaysiaGazette