Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Nik Amlizan Mohamed bercakap pada sidang media Pengumuman Penyata Kewangan LTAT 2018 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak mempunyai perancangan untuk menjual aset-aset yang dimilikinya buat masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Amlizan Mohamed berkata, entiti tersebut sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan nilai dan memberi pulangan yang lebih baik kepada ahli-ahlinya yang terdiri daripada anggota tentera bagaimanapun, agenda penjualan aset tidak termasuk dalam perancangan jangka pendek.

“Sekiranya kami berhasrat untuk menjual aset-aset yang ada, kami akan memastikan ianya memberikan pulangan yang tinggi kepada ahli-ahli kami tetapi buat masa sekarang, kami masih tiada perancangan untuk menjual aset.

“Kami ingin membetulkan dahulu kesilapan urus tadbir yang berlaku di dalam LTAT namun seperti yang saya katakan tadi, sekiranya ada peluang di mana penjualan aset boleh memberikan pulangan yang tinggi kepada ahli, kami sedia memberi pertimbangan,” katanya semasa sidang media pengumuman prestasi kewangan LTAT 2018 di sini hari ini.

Tambah Nik Amlizan, LTAT menguruskan aset bernilai RM9.4 bilion setakat 31 Disember 2018.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap fokus pelaburan yang keterlaluan dalam Boustead Holdings Bhd.

Jelasnya, pendedahan yang terlalu tinggi terhadap sesebuah syarikat atau kumpulan adalah amalan tidak sihat untuk struktur pelaburan.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung hanya kepada satu atau dua pelaburan sahaja.

“Pendedahan dalam Boustead amat tinggi dan ini tidak sihat.

“Bagaimanapun, kami masih membuat pertimbangan sama ada mahu melupuskan pegangan dalam Boustead atau tidak.

“Kami tidak mahu terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan,” katanya lagi sambil menambah 100 peratus pelaburan LTAT adalah di dalam negara.

LTAT merupakan pemegang utama terbesar dalam Boustead Holdings Bhd. yang terlibat dalam pelbagai perniagaan teras antaranya pertanian, hartanah, industri berat, farmaseutikal dan perbankan. – MalaysiaGazette