Gambar hiasan

SEREMBAN – Seramai 142 anggota polis dikesan positif dadah dalam saringan awal yang dilakukan menerusi ‘Op Blue Devil’ yang dijalankan di setiap kontinjen, sejak ia mula dilaksanakan 13 Ogos lepas.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata operasi berkenaan tidak pernah dihentikan dan dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.

“Kenapa kita tak berhenti Ia adalah kerana pucuk pimpinan (Polis Diraja Malaysia – PDRM) berhasrat membersihkan PDRM ini daripada gejala-gejala tidak sihat khasnya dadah.

“Kita tidak boleh ada pegawai polis yang ada ‘brain diseases’ dalam PDRM. PDRM mesti bersih,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Mengulas lanjut, Mohd Khalil berkata daripada 142 anggota yang dikesan positif dadah, setakat ini ia tidak melibatkan pegawai berpangkat tinggi.

“Kamu kena faham apabila disebut saringan awal bermakna positif awal. Semua daripada 142 tadi, kita akan tuduh, jika laporan daripada patologi positif.

“Apabila kita ambil tindakan kepada mereka ini, tindakan yang kita ambil adalah sama seperti tindakan yang kita ambil kepada orang awam. Tiada perbezaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil berkata PDRM tidak mempunyai sebarang halangan mengenai dasar ‘decriminalisation’ terhadap penagih dadah yang hendak dilaksanakan kerajaan.

Menerusi dasar itu penagih dadah tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah, sebaliknya memerlukan rawatan dan pemulihan yang melibatkan rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan anggota keluarga dan masyarakat.

“Decriminalisation ini dalam perancangan dan setakat ini kita belum dipanggil lagi, kerana pemegang taruh itu ialah Agensi Dadah Kebangsaan (AADK). Kita sebenarnya tiada halangan dari segi proses ini, kerana menyahut usaha kerajaan.

“Jadi kita setuju, tetapi kita punya pandangan sesiapa sahaja yang memiliki benda itu (dadah) daripada badan dia ataupun menjual dalam skala kecil pun, kita akan ambil tindakan undang-undang juga.

— BERNAMA