A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Datuk A. Kadir Jasin hari ini mempertahankan kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa tidak wujud garis masa dua tahun bagi penyerahan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri itu menganggap kenyataan dan pertikaian tentang peralihan kuasa kepada Anwar disuarakan oleh pihak yang tidak mengetahui kandungan sebenar perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Mungkin mereka (mempertikaikan) tidak berada di tempat ia berlaku (perjanjian).

“Mereka mungkin tidak teribat, terbabit merangka perjanjian-perjanjian yang tersurat dan yang tersirat dan mereka membuat kenyataan berasaskan kepada pandangan luaran bukan berasaskan pengetahuan apa yang berlaku sebelum dan selepas pilihan raya yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas majlis Konsultasi Pakar Nasional (NEC) Mengenai Kebebasan Bersuara dan Ucapan Benci di sini.

A. Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu ditanya tentang kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, yang mendesak peralihan kuasa pentadbiran negara dilakukan segera.

Veteran politik itu mendakwa, jika Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa sebelum pilihan raya umum ke-15 ia umpama membunuh Pakatan Harapan dan parti kerana Anwar tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan.

Sehubungan dengan itu, A. Kadir mengingatkan semua ahli dari semua peringkat parti mengelak mencetuskan ketegangan meskipun mereka diberi kebebasan untuk bersuara.

“Pemimpin daripada pakatan yang sama boleh mengkritik, bagi saya ini adalah satu yang membezakan kerajaan hari ini dengan yang lalu kita menghormati kebebasan dan ia berlaku di semua peringkat sehinggalah ke atas iaitu kepimpinan Pakatan Harapan iaitu sesiapa pun boleh bersuara.

“Ini adalah biasa dalam politik. Tapi akhirnya kita terpaksa kembali kepada apa yang dipersetujui. Semua orang sudah tahu sebelum Pakatan Harapan memasuki pilihan raya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi, jika menang berusaha mendapatkan pengampunan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim,  yang semuanya sudah berlaku.

“Dan yang berlaku ialah bila penyerahan kuasa. Yang jelas tidak ada tarikh dinyatakan penyerahan kuasa, cuma saya tidak mahu cakap panjang kecuali mengulangi bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad banyak kali berkata akan tunaikan janjinya.

“Cuma satu, yang perlu dielakkan adalah wujudkan ketegangan yang mungkin boleh menyebabkan apa yang dirancang tidak dapat berlaku seperti yang dijangkakan,” katanya. – MalaysiaGazette