Pekerja yang terlibat dengan makanan dibenarkan beroperasi semasa fasa kedua PKP.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia akan memastikan wujudnya situasi menang-menang antara rider (penunggang) Foodpanda dan syarikat yang terbabit bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Menurut satu kenyataan, laporan awal yang diterima kementerian itu mendapati rider Foodpanda tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat yang menukar skim fi perkhidmatan yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka.

“Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ingin memaklumkan bahawa pihak Kementerian telah mengambil maklum isu yang sedang tular di antara rider Foodpanda dan pihak pengurusan syarikat terbabit dan sedang dalam proses siasatan mengenai perkara tersebut,” kata kenyataan itu.

Berikutan masalah yang timbul itu, katanya, Kementerian Sumber Manusi telah berjumpa dengan beberapa rider Foodpanda semalam bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu ini.

Malah, tambah kenyataan itu, Pengarah JPP Kuala Lumpur dan Pegawai-Pegawai JTK Semenanjung Malaysia juga telah bertemu dengan pihak pengurusan syarikat terbabit pada petang tadi di pejabat mereka untuk mendapatkan penjelasan tentang perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh rider syarikat itu.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, isu berkenaan akan dibangkitkan oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran pada Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang. – Malaysia