Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini mempertahan pemberian dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang rendah bagi tahun kewangan berakhir 2018.

Menurut beliau, pelaburan dalam Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) merupakan salah satu pelaburan tidak munasabah yang dilakukan oleh LTAT dengan pelaburan sebanyak RM500 juta.

“Dividen LTAT memang tahun ini rendah kerana kita terpaksa cover laporan dahulu yang tidak betul. Sebenarnya Audit Negara telah menegur laporan tahun 2016 yang dilaporkan pada 2017.

“Ianya tidak betul dan kita terpaksa betulkan segala akaun LTAT.

“Diantaranya melabur kepada AES sehingga LTAT terbantut yang lebih RM500 juta. Kalau wang itu berada di tangan LTAT, buat simpanan kita boleh dapat lebih daripada RM30 juta,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2019, di Hotel Istana sebentar tadi.

LTAT semalam, mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018, dengan jumlah agihan RM161.2 juta.

Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, berkata pendapatan bersih (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta serta ia adalah penurunan ketara sebanyak 51.9 peratus berbanding pendapatan bersih dinyatakan semula sebanyak RM459.5 bagi tahun kewangan 2017.

Dividen berkenaan akan diagihkan pada ahli, minggu ini.

Mohamad Sabu juga berkata kerajaan memerlukan tempoh tiga tahun bagi memulihkan keadaan kewangan yang dihadapi LTAT.

“Mereka (pengurusan) yakin dalam masa tiga tahun LTAT akan kembali baik keadaannya setelah diperbetulkan kesilapan dahulu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette