Gajah betina pygmy yang mati akibat terkena 70 tembakan. foto Sabahpost

KOTA KINABALU – Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap bangkai gajah pygmy yang ditemukan mati di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan, pada Khamis lepas berpunca daripada peluru yang digunakan menembusi tengkorak gajah malang itu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata, di kiri dan kanan badan gajah itu terdapat kesan lebih kurang 70 peluru tabur, namun tidak menyebabkan kematian kepada gajah berkenaan.

“Banyak kesan tembakan di badan tetapi itu mungkin hanya menyebabkan kesakitan tetapi salah satu peluru itu menembusi tengkorak gajah berkenaan dan gadingnya telah dipotong serta diambil pemburu,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian ‘5th Asia Protected Areas Partnership (APAP) Technical Workshop on Tourism and Visitor Management in Protected Areas,” di sini hari ini.

Augustine turut menjelaskan bahawa gajah berkenaan adalah gajah jantan dewasa yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan bukan gajah betina seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata wang ganjaran sebanyak RM30,000 ditawarkan kepada pemberi maklumat, bagi mengesan pemburu yang terlibat dalam aktiviti itu dan bantuan orang ramai amat diharapkan untuk menyalurkan sebarang maklumat.

“Kawasan berkenaan tidak ramai penduduk tetapi JHL akan terus berusaha untuk mencari mereka yang bertanggungjawab melakukan pemburuan haram itu,” katanya.

Pada Khamis lepas, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan, dekat Tawau, dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari. – MalaysiaGazette