Petronas

RIYADH – Aramco telah menawarkan beberapa pengeluar minyak Asia termasuk Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Sinopec Group untuk melabur dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO).

Syarikat minyak gergasi dunia dan para penasihatnya baru-baru ini telah mengadakan perbincangan dengan bakal pelabur termasuk dari dana kekayaan negara China dan China National Petroleum Corp.

Aramco juga telah menemui Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait, termasuk dana kedaulatan Abu Dhabi Mubadala Investment Co., serta dana pencen Kanada, menurut sumber.

Perbincangan dan pertimbangan masih di peringkat awal dan Aramco masih belum menerima sebarang komitmen daripada mana-mana firma.

Aramco bersandar pada rakan kongsi perniagaan dan kerajaan-kerajaan untuk membantu mencapai nilai IPO sebanyak AS$ 2 trilion walaupun harga minyak jatuh lebih daripada 25% sepanjang tahun lalu.

Entiti itu merancang untuk disenaraikan pada bulan November ini.

Petronas, bekerjasama dengan Aramco dalam projek pembangunan kompleks penapisan dan petrokimia bernilai AS$27 bilion di Johor.

Aramco telah memperluaskan hubungannya di Asia, rantau paling tinggi menggunakan minyak utama di dunia, dengan tawaran penapisan untuk meningkatkan penguasaan pasarannya.

Entiti petroliam China mengadakan perbincangan dengan Aramco dalam usahanya untuk menaikkan minat dalam penyenaraian itu.

Aramco menjemput Kumpulan Sinopec, untuk melabur pada Mac 2017. Syarikat itu, yang secara rasmi dikenali sebagai China Petrochemical Corp, adalah pembeli terbesar minyak mentah Arab Saudi.

CNPC, yang menguasai PetroChina Co tersenarai di dalam negara dan dana berdaulat China Investment Corp juga sedang berbincang dengan Arab Saudi mengenai pelaburan di Aramco pada tahun 2017, menurut sumber.

Setakat ini, Mubadala enggan mengulas dan maklum balas dari Petronas, CIC, CNPC dan Kumpulan Sinopec masih belum diperoleh. – MalaysiaGazette