KUALA LUMPUR – Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan  dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) baharu berkuat kuasa 4 Oktober ini sehingga 3 Okt 2022.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan Dr Faisal Rafiq dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam pada 4 September lepas.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Tan Sri Zarinah Anwar, turut  dianggotai Tan Sri Wahid Omar, Tan Sri Dr Lin-See Yan, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak dan Dr Andrew Aeria.

Pelantikan Dr Faisal itu berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaiannya semasa memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Malaya (UM) selama enam tahun, selain jawatan-jawatan jawatan sebelum itu sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kementerian Pendidikan percaya Dr Faisal berkeupayaan memacu kecemerlangan USM ke tahap lebih tinggi.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan juga merakamkan penghargaan kepada Prof Datuk Dr Asma Ismail atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan Naib Canselor USM sejak 4 Oktober 2016 hingga 3 Oktober 2019.

Asma kini dilantik sebagai Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM). – MalaysiaGazette