Sebuah stor Kualiti Alam yang menyimpan pelbagai bahan mudah terbakar di Sendayan hari ini.

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bagi membincangkan mengenai cadangan untuk memindahkan pusat Kualiti Alam daripada Sendayan ekoran kedudukannya kini yang hampir dengan penempatan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata pembangunan pesat sekitar Sendayan menyebabkan kedudukan Pusat Kualiti Alam kini semakin hampir dengan penempatan penduduk iaitu kurang daripada 500 meter.

Perjumpaan berkenaan dijadualkan pada 7 Okt ini, katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kebakaran sebuah stor Kualiti Alam yang menyimpan pelbagai bahan mudah terbakar. Kebakaran itu berlaku pada 12 tengahari.

Pusat Kualiti Alam ditubuhkan pada 1998, sebagai pusat yang mempunyai lesen untuk menguruskan 76 daripada 77 kategori pembuangan berjadual.

Terletak di Ladang Tanah Merah, Bukit Pelandok, Port Dickson, pusat berkenaan terletak kira-kira 15 kilometer daripada bandar Seremban dan ketika mula beroperasi kedudukannya agak jauh dari kawasan penempatan penduduk.

Kebakaran di pusat Kualiti Alam hari ini adalah yang kedua selepas yang pertama pada 2015.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata setakat ini punca kebakaran belum diketahui serta ia tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Seramai 20 anggota bomba termasuk pasukan Hazmat berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran itu pada 3.21 petang.- BERNAMA