Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad bercakap pada sidang media mengenai penipuan wang pelanggan mengakibatkan kerugian RM30.4 juta di Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sedang menjejak 21 peguam yang dipercayai terlibat dalam 39 kes menipu pelanggan sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, ia merupakan jumlah kes terkumpul yang dilaporkan kepada polis sejak 2012 sehingga tahun ini.

Antara kesalahan jenayah yang dilakukan oleh peguam yang dikehendaki ini adalah menipu wang pelanggan.

“Ada yang menipu dalam aspek hartanah, kontrak, duit pelanggan contohnya kata nak buat pembayaran kepada pihak ketiga tetapi separuh wang dia (peguam) itu yang ambil

“Melalui semakan JSJK dengan Jabatan Imigresen 16 masih berada dalam negara manakala 5 lagi di luar negara sehingga hari ini. Pihak polis telah berusaha mengesan yang berada di dalam negara berdasarkan alamat tetapi tidak berjaya,” katanya pada sidang media di pejabat JSJK sebentar tadi.

Menurut beliau, kesemua peguam yang dikehendaki ini telah dibuang daripada Majlis Peguam.

Lapan daripada 21 yang dikehendaki itu kata Zakaria perlu ditangkap dan dituduh di mahkamah manakala 13 yang lain diperlukan untuk tujuan kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwaraya.

Terdahulu Zakaria berkata sebanyak 39 kes yang dilaporkan melibatkan jenayah yang dilakukan oleh peguam antaranya Perak (1), Selangor (21), Kuala Lumpur (11), Johor (3), Negeri Sembilan (1) dan Pahang (2).

Kesemua kes yang dilaporkan ini mengakibatkan kerugian RM30.4 juta ringgit.

Sehubungan itu menurutu Zakaria, semua 21 peguam yang dikehendaki diminta tampil membantu siasatan dan menghadapi pertuduhan di mahkamah secara sukarela.

Tambah beliau, mereka yang mempunyai maklumat juga tambahnya lagi diminta memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Zakaria berkata, irang ramai yang curiga terhadap peguam yang bekerjasama dengan mereka boleh mendapatkan nasihat kepada JSJK.-MalaysiaGazette