Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz Malay Peninsular Malays Indians Orang Asli Chinese MRL Malay Reserve Land
Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz

ORANG Melayu adalah pasak bangsa Malaysia. Elemen-elemen yang sinonim dengan orang Melayu, termasuk institusi beraja sebagai tiang negara, agama Islam sebagai agama bagi negara, Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara dan kedudukan khas orang Melayu adalah elemen watan yang dijamin dan terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi yang mengisytiharkan tatacara hidup bernegara bagi Malaysia. Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua, terutamanya kerajaan, untuk menzahirkan ketaatan kepada Perlembagaan dengan melaksanakan semua peruntukan Perlembagaan.

Pun begitu, Perlembagaan adalah huruf-huruf yang kaku – ia bukan suatu undang-undang yang boleh menghukum, kecuali hukuman berbentuk “politik”, seperti mengalahkan dan menjatuhkan kerajaan yang tidak menghormati Perlembagaan melalui pilihan raya; atau mendesak pemimpin yang tidak menghormati Perlembagaan.untuk meletak jawatan

Perlembagaan memerlukan kesungguhan para pemimpin untuk melaksanakan prinsip dan nilai yang terkandung di dalamnya. Perlembagaan juga memerlukan sokongan rakyat  untuk menjadikan segala peruntukannya suatu realiti.

Namun, sejak dekad mutakhir, terutamanya selepas pilihan raya umum ke-14, jelasnya sifat dan nilai watan tanahair semakin merasai bahang panas. Bahang panas ini menggambarkan kegelisahan orang Melayu yang terjalin kedudukannya dengan elemen-elemen watan dalam Perlembagaan telah mulai terguris. Khalayak rata-ratanya bercakap sesama sendiri melihat kelemahan pelaksanaan Perlembagaan.

Lihat sahaja peristiwa perhimpuan orang Melayu ketika menolak ratifikasi International Convention on Elimination of Racial Discrimination (ICERD) yang telah cuba dibawa masuk ke dalam negara oleh kerajaan secara rasmi. ICERD disanggah oleh orang Melayu kerana implikasi negatif ke atas elemen watan yang dipelihara Perlembagaan. Bukan sedikit jumlah mereka yang hadir pada perhimpunan tersebut. Akhirnya kerajaan mengalah. Keadaan sama dalam kes Statut Rom. Sikat tegas orang Melayu menyebabkan kerajaan menarik semula perakuan kepada instrumen antarabangsa tersebut.

Ini menunjukkan kepekaan dan kekukuhan jiwa orang Melayu yang berani menentang segala macam ancaman ke atas bangsanya dan akidah serta syariat agamanya.

Pada pemerhatian saya, setelah pelbagai peristiwa yang mengganggu sensitiviti orang Melayu telah berlaku, ia menyebabkan luka kepada perasaan orang Melayu.  Bukan sahaja dari segi agama dan budaya Melayu, tetapi juga ke atas elemen penting yang menjadi pasak negara.

Maka, patutlah bagi orang Melayu untuk menzahirkan perasaan mereka bahawa maruah mereka telah tercabar dan terancam. Luka pada badan nampak berdarah, luka di hati membawa padah.

Oleh itu, pada pengamatan saya, keadaan ini telah mendapat perhatian para cendikiawan. Hasilnya, empat buah universiti awam bersetuju bekerjasama  untuk menganjurkan “Kongres Maruah Melayu”. Empat buah universiti yang mempunyai pusat kajian Melayu ini cuba memberi respons kepada keadaan semasa.

Ekspresi “Maruah Melayu” pada tema kongres ini dilihat menzahirkan betapa keadaan semasa dan banyak peristiwa yang berlaku telah mencabar maruah orang Melayu. Maruah Melayu yang tercabar ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan. Justeru usaha cendikiawan ini hendaklah diberikan peluang membuktikan ketulusannya.

Impak yang diharapkan daripada “Kongres Maruah Melayu” ini ialah, resolusi-resolusi yang dibentangkan nanti dapat menggagahkan orang Melayu dan seterusnya menyedarkan mereka tentang hakikat bahawa maruah mereka kian tergadai. Seterusnya Kongres Maruah Melayu ini diharap menjadi permulaan kepada penyelesaian segala permasalahan membelengu bangsa Melayu dalam bidang utama, termasuklah politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan agama.

Sekadar imbasan sejarah, gagasan Malayan Union yang diperkenalkan British, kuasa besar dunia yang menjajah lebih satu pertiga dunia pada ketika itu, telah digagalkan oleh perpaduan Melayu. Gagasan Malayan Union tersebut dirobohkan oleh perpaduan Melayu. Beberapa Kongres Melayu yang dianjurkan pada ketika muafakat menentang Malayan Union menjadi contoh kepada kekuatan Melayu.

Impak seumpama inilah yang kita mahukan daripada “Kongres Maruah Melayu”. Kongres ini hendaklah menggagahkan Melayu dengan perpaduan; meneguhkan kekuasaan orang Melayu dalam politik serta ekonomi; dan mengangkat maruah Melayu dalam hal akidah dan budaya melalui pendidikannya.

Maka Kongres Maruah Melayu ini adalah platform terbaik untuk disertai oleh semua parti politik dan semua pemimpin Melayu dan mendapat sokongan daripada seluruh orang Melayu dan umat Islam. – MalaysiaGazette