Bekas Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar ketika menghadiri perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 03 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Perbicaraan kes berprofil tinggi kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan hari ini menyaksikan kenyataan bercanggah daripada saksi serta tertuduh.

Salah seorang daipada tiga tertuduh dalam kes itu, iaitu remaja berusia 14 tahun, yang mendakwa telah terkeliru ketika memberi kenyataan supaya ‘boleh pulang awal’.

Bagaimanapun menurut saksi ketujuh, Inspektor Anestassia Chin Fat, remaja tersebut kelihatan begitu ‘bersahaja’ ketika memberi kenyataan dan tidak langsung tertekan seperti yang didakwa.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula memberitahu mahkamah bahawa pada 22 September 2018, tertuduh terbabit membuat laporan polis mendakwa beliau ditipu polis berhubung keterangan yang diberikan pada pihak berkuasa itu pada 11 September 2018.

Shafee berkata, laporan polis itu dibuat bagi membetulkan kenyataan yang diberikan kepada polis sejurus selepas pulang ke rumah dan ‘berfikir’ apa yang telah berlaku kepadanya ketika dalam  tempoh tahanan reman.

Kata Shafee, remaja itu menyatakan dalam laporan polisnya bahawa pegawai penyiasat yang melakukan soal siasat telah memintanya berbohong tentang ibunya selain daripada cuba melakukan pengakuan palsu.

“Ketika saya ditahan reman antara 5 hingga 12 September, saya telah disoal oleh ramai pegawai penyiasat antara 3 hingga 5 orang dalam sebuah bilik. Mereka telah minta saya bekerjasama seandainya saya mahu pulang awal ke rumah.

“Kata mereka, mereka akan sediakan laporan serta beri jaminan untuk saya pulang ke rumah. Tetapi apabila saya dibebaskan, barulah saya sedar polis telah berbohong kepada saya. Saya tidak tahu pula polis boleh berbohong kepada kanak-kanak.

“Polis telah berbohong, telah berbohong tentang ibu saya seolah-olah beliau telah melakukan sesuatu.

“Antaranya seperti ibu saya keluar rumah pada 6 pagi untuk membeli minyak petrol, juga bagaimana ibu saya tidak mengambil berat terhadap diri saya dan pelbagai perkara lagi termasuk kejadian rompakan pada 2015 di rumah lama di Mutiara Damansara.

“Polis berbohong dan menyakinkan saya untuk mengaku bahawa saya memotong baju lama kemeja-t ‘Hard Rock’ milik ayah tiri yang mana saya tidak melakukannya namun terpaksa mengaku kerana ada orang lain melihat saya bertindak sedemikian,” baca Shafee di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Saksi, Inspektor Anestassia Chin Fat ketika hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 03 OKTOBER 201

Kata Anestassia, selepas tertuduh remaja memberi keterangan dia ada meminta tertuduh untuk membaca semula laporan yang ditulisnya berdasarkan keterangan yang diberikan.

“Remaja itu yang ketika itu dalam tempoh reman, memahami segala laporan terbabit walaupun ia ditulis dalam Bahasa Melayu sedangkan dirinya lebih fasih dengan menggunakan Bahasa Inggeris.

“Keterangan itu tidak diubah suai sebaliknya seperti apa yang dikatakan olehnya sahaja. Malah ketika memberikan kenyataan, dia kelihatan ‘biasa’ dan bersahaja sahaja.

“Pada pandangan saya, sekiranya seorang kanak-kanak itu boleh berikan kenyataan konsisten maka tidak perlu ditemani oleh ibu bapa,” katanya.

Prosiding akan bersambung esok jam 9 pagi di Mahkamah Tinggi Shah Alam. –MalaysiaGazette