Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha, Datuk Alwi Ibrahim pada Pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Negara di Auditorium Kompleks D, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak nampak sebarang masalah dalam pentadbiran P. Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, katanya, Waytha akan kekal dalam jawatan sekarang iaitu menjaga perpaduan negara malah Dr Mahathir berpendapat beliau layak untuk terus mengepalai portfolio berkenaan.

“Saya tidak nampak apa masalah kepada dia, jadi waktu ini saya masih boleh simpan Waytha Moorthy sebagai menteri,” katanya ringkas kepada media selepas merasmikan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA), di Auditorium Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Januari lalu, Dr Mahathir berkata, beliau akan memutuskan kedudukan Waytha sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akibat cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak Waytha dipecat kerana dituduh mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan bangsa Melayu dan kaum India, dan gagal menjalankan tugasnya sebagai menteri yang menjaga perpaduan negara.

Malah ada yang melancarkan petisyen menerusi tandatangan di atas talian Change.org mendesak Waytha meletak jawatan sebagai menteri.

Petisyen yang mendesak dia dilucutkan jawatan telah ditandatangani oleh lebih 300,000 rakyat Malaysia.

Jumaat lalu, Mahkamah Koroner memutuskan, kematian anggota Bomba dan Penyelamat (JBPM) Muhammad Adib akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Koroner, Rofiah Mohamad dalam keputusannya berkata, Muhammad Adib telah dipukul oleh sekumpulan orang India ketika bertugas memadamkan kebakaran dalam rusuhan tersebut.

Berikutan keputusan tersebut, pelbagai pihak menuntut perdana menteri menunaikan janjinya untuk menentukan kedudukan Waytha. – MalaysiaGazette