Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima cenderamata daripada Presiden LAWASIA, Christopher Leong (dua kiri) pada Persidangasn LAWASIA Konstitusi dan Kaedah Undang-Undang di One World Hotel, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2019

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia mendedahkan laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) kepada umum jika ada pihak yang mahu beliau menjadi popular.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, beliau bukanlah ejen bebas, sebaliknya perlu mengambil kira pandangan lima parti komponen dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, kesemua parti itu memiliki agenda masing-masing.

“Sebagai pemimpin yang mengamalkan demokrasi, saya perlu mendapat konsultansi lima parti itu.

“Tapi kalau ada yang mahu saya popular, saya boleh dedahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada Persidangan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang LawAsia 2019 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan seorang peserta merangkap bekas Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga yang hadir pada majlis itu.

Ambiga yang juga ahli IRC sebelum ini mendesak kerajaan mendedahkan laporan IRC kepada umum.

Membuat gesaan itu, beliau menyatakan semua cadangan reformasi perlu melalui konsultasi umum.

“Perdana Menteri menyatakan bahawa laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak akan didedahkan kepada umum. Kita memahami kenapa laporan CEP tidak dapat didedahkan kepada umum oleh kerana terdapat informasi sensitif mengenai ekonomi dan sebagainya, namun laporan IRC tidak sebegitu.

“Kita perlu ingat kerajaan PH terbentuk daripada kehendak rakyat yang melihat keperluan kepada perubahan demi menyelamatkan negara yang tercinta. Kita perlu yakin dengan mereka.

“Biarlah rakyat menjadi sebahagian daripada proses perubahan. Saya rasakan mereka mempunyai hak tersebut.

“Adalah penting bagi kita untuk mendapatkan pandangan orang ramai oleh kerana jawatankuasa berkemungkinan terlepas pandang idea yang boleh menambahbaik cadangan,” kata Ambiga yang dilaporkan media sebelum ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.