MIT

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Lebihan perdagangan Malaysia pada Ogos 2019 melonjak 655.2 peratus kepada RM10.92 bilion berbanding Ogos tahun lepas, lebihan perdagangan bulan yang ke-262 berturut-turut sejak November 1997.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, jumlah perdagangan menyusut 6.6 peratus tahun ke tahun kepada RM151.79 bilion, dengan eksport jatuh 0.8 peratus kepada RM81.36 bilion manakala import berkurangan 12.5 peratus kepada RM70.43 bilion.

“Eksport rendah direkodkan ke Hong Kong, Australia, Taiwan, China, New Zealand, Korea Selatan dan ASEAN. Manakala peningkatan eksport dicatatkan ke Bangladesh, India, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU),” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Eksport barangan perkilangan meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada RM68.64 bilion, eksport barangan perlombongan turun 20.7 peratus kepada RM6.01 bilion dan eksport barangan pertanian naik 13 peratus kepada RM5.98 bilion.

Eksport tinggi barangan pertanian itu mendapat rangsangan daripada eksport tinggi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit yang menyaksikan peningkatan 31.4 peratus kepada RM3.65 bilion.

Perdagangan dengan ASEAN pada Ogos turun sebanyak 8.5 peratus tahun ke tahun kepada RM39.78 bilion, dengan eksport susut sebanyak 1.2 peratus kepada RM22.92 bilion dan import menguncup sebanyak 16.9 peratus kepada RM16.87 bilion.

Perdagangan dengan China juga turun sebanyak 7.9 peratus kepada RM26.47 bilion, dengan eksport berkurangan sebanyak 2.8 peratus kepada RM11.49 bilion manakala import jatuh 11.5 peratus kepada RM14.97 bilion.

Perdagangan dengan EU turut merosot sebanyak 7.8 peratus tahun ke tahun kepada RM14.47 bilion, dengan eksport berjumlah RM8.05 bilion, meningkat sebanyak 5.3 peratus di mana import berjumlah RM6.42 bilion, turun sebanyak 20.3 peratus.

Perdagangan dengan AS meningkat sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM14.44 bilion manakala eksport mencatatkan pengembangan 6.8 peratus kepada RM8.32 bilion dan import dari AS naik sedikit sebanyak 0.1 peratus kepada RM6.11 bilion.

Pada Ogos, perdagangan dengan Jepun berjumlah RM10.26 bilion, penurunan 1.4 peratus tahun ke tahun manakala eksport berjumlah RM4.96 bilion, meningkat 2.4 peratus dan import susut 4.7 peratus kepada RM5.3 bilion.- MalaysiaGazette