KUALA LUMPUR – Sri Lanka menganggap perlawanan antarabangsa berdepan Harimau Malaya merupakan persiapan terbaik untuk pasukan itu menentang Korea Selatan dalam aksi kedua pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia 2023 pada minggu hadapan.
Ketua Jurulatihnya, Nizam Pakeer Ali berkata, prestasi pasukan itu telah berubah sejak beliau mengambilalihnya berikutan penerapan pendidikan fizikal dan mental di dalam dan luar padang, termasuk pengurusan gaya hidup sihat pemain.
“Ini penting untuk mereka dalam melahirkan satu pasukan muda dan boleh diwarisi generasi muda Sri Lanka.
“Lebih menggembirakan ia membuahkan hasil yang mana skuad kami berjaya mara ke pusingan kedua kelayakan piala dunia selepas 16 tahun dan ini satu bonus untuk kita terus mara ke hadapan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan antara Malaysia dan Sri Lanka.
Tambah Nizam, skuad yang dibarisi pemain muda sedia untuk berdepan Harimau Malaya yang mempunyai kelebihan pada setiap bahagian.
Menurutnya, walaupun Sri Lanka kalah tipis dalam dua perlawanan ketika berdepan Turkmenistan dan Korea Utara, namun ia adalah pencapaian besar kerana pintu gol tidak kerap dibolosi.
Sementara itu, kapten Sri Lanka, Kavindu Ishan berkata, rakan sepasukannya menganggap berlatih di bawah kendalian adalah satu pengalaman yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
“Saya pernah beraksi di bawah enam hingga tujuh jurulatih yang pernah membimbing skuad kebangsaan Sri Lanka.
“Namun latihan dan kemahiran bola sepak yang diterapkan oleh Nizam Pakeer adalah luar biasa dan ada kelainan dalam kami meningkatkan lagi kemahiran permainan di atas padang dan disiplin setiap masa,” ujarnya. – MalaysiaGazette