GAUTENG, Afrika Selatan – Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan di Lapangan terbang Antarabangsa O.R Tambo, Johannesburg kerana memiliki 12 kotak berisi tulang singa.

Menurut Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS), unit khas senjata dan tektik Jenayah Terancang Hawk, Jabatan Polis Metropolitan Ekurhuleni dan unit Risikan Jenayah memintas barangan yang disyaki itu pada Selasa lalu.

Selepas menggeledah mereka menemui 12 buah kotak yang kandungannya kemudian dikenalpasti sebagai tulang singa, lapor SA people news.

Tulang tersebut dilaporkan akan dihantar ke Malaysia.

Berikutan itu, suspek tersebut ditahan dan didakwa kerana melanggar Akta Pengurusan Alam Sekitar Kebangsaan, kata SAPS dalam kenyataan.

Suspek itu dihadapkan di Mahkamah Majistret Kempton Park semalam kerana memiliki tulang-tulang singa secara haram, jelasnya

Pada April lalu, satu rakaman yang disiarkan ahli perniagaan United Kingdom yang juga Timbalan Pengerusi Parti Konservatif, Lord Ashcroft mendedahkan amalan industri penternakan singa dalam kurungan di Afrika Selatan.

Beliau mendedahkan bagaimana beribu-ribu ekor singa dipelihara yang kemudiannya dibunuh menerusi sukan pemburuan dengan tulang-tulang haiwan itu mendapat permintaan di Asia Tenggara dan China bagi kegunaan perubatan tradisional, termasuk menggunakannya sebagai ubat peransang nafsu syahwat. – Agensi