Saksi, Nur Ronal Ardes Amir ketika hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 04 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Saksi ke-12 prosiding perbicaraan kes kematian berprofil tinggi membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan mendakwa isteri mangsa sempat naik ke atas bilik untuk mengambil mata wang asing dan barangan lain.

Bilik itu juga merupakan lokasi kematian arwah suaminya yang pada masa itu sudah meninggal dunia.

Menurut Nur Ronal Ardes Amir dalam penyataan saksinya mendakwa, tertuduh utama yang juga merupakan balu kepada mangsa, Samirah Muzaffar melakukan perbuatan itu pada hari kematian Nazrin.

Nur Ronal berkata,  Samirah sempat mengajaknya naik ke atas bilik untuk mengambil wang asing yang tidak diketahui nilainya itu pada 14 Jun tahun lalu.

Saksi yang merupakan bekas Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu mendakwa  mata wang asing itu diambil dalam laci kabinet yang terletak berhadapan dengan katil yang sudah hangus terbakar.

Malah Samirah sempat menunjukan wang berkenaan kepadanya namun saksi tidak pasti berapakah jumlah itu.

“Mata wang asing itu diambil ketika perempuan yang merupakan pemilik rumah tersebut (Samirah) masuk kali kedua di dalam bilik itu.

“Tertuduh kemudian memasukan wang tersebut dalam sebuah beg bertangkai selain itu dia juga menemui kunci pedua yang ada dalam laci tersebut.

“Dia tunjukan kunci kepada saya sambil berkata itulah kunci spare. Macam mana saya mahu masuk, kunci dalam laci kabinet ini.

“Dia juga pergi ke meja sebelah katil dan mengambil barangan dikatakan milik Nazrin, tidak pasti jika ianya jam tangan atau telefon bimbit tetapi letak semula kerana sudah rosak terbakar,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman hari ini.

Nur Ronel juga sempat menceritakan keadaan Samirah yang melutut di hadapan mayat suaminya sambil mengoyangkan badannya ke hadapan dan ke belakang sambil memerhatikan mangsa sekurang-kurangnya 10 minit.

Bagaimanapun, Nur Ronel mendakwa Samirah tidak menangis sebaliknya gelisah kerana tidak dapat masuk lagi ke bilik mangsa yang mati terbakar itu.

“Untuk kali ketiga, tertuduh cuba masuk ke bilik untuk mengambil wang lagi namun bomba pula tidak membenarkan. Tertuduh kemudian ke bilik lain aras sama untuk sekadar melihat keadaan sekeliling sebelum menutupnya kembali.

“Pada masa sama, dia sempat mengomel mengatakan dirinya terpaksa mengemas rumahnya sendiri kerana ketiadaan pembantu rumah,” ujarnya.

Terdahulu, Nur Ronel sempat menceritakan bagaimana dirinya bersama Koperal Fauzana menghala ke lokasi berkenaan selepas mendapat maklumat daripada anggota ronda bermotosikal URB tentang kebakaran tersebut bagi memberikan bantuan.

“Saya dan Fauzana sampai ke tempat kejadian lebih kurang 12.35 tengah hari, ketika sampai kami nampak sudah ada pasukan yang memadamkan api dalam bilik berkenaan.

“Saya sampai sahaja terus pergi berjumpa dengan perempuan pemilik rumah (Samirah) yang juga isteri mangsa. Dia kelihatan gelisah dan ingin naik ke bilik tempat kebakaran itu tetapi tidak dibenarkan kerana asap masih tebal.

“Perempuan itu juga mengarahkan tiga anaknya masuk ke bilik tingkat bawah, saya nampak tangannya berdarah dan bertanya sekiranya dia okay sebaliknya hanya menjawab tangan tercedera ketika cubaan membuka bilik berkenaan.

“Dalam 1.10 tengah hari, saya bawa perempuan itu naik ke biliknya kerana dia memberikan alasan mahu melihat keadaan suaminya. Apabila sampai di tingkat atas bilik berkenaan, perempuan itu duduk di sebelah kepala suaminya yang terbakar itu. Selang sepuluh minit, kami turun meninggalkan bilik itu.

“Kali kedua, kami naik balik, dia mengambil wang tunai mata wang asing yang disimpan dalam laci bersebelahan dengan televisyen, lepas ambil wang itu dia kelihatan seperti tercari-cari kemudian terjumpa kunci pedua tersebut. Kami turun selepas itu.

“Kali ketiga, dia ingin naik balik untuk mengambil wang lagi namun tidak dibenarkan oleh bomba. Ketika saya berada di tingkat bawah, saya lihat tertuduh beberapa kali naik tetapi saya tidak pasti mengapa. Dia kelihatan gelisah,” ujarnya.

Dalam pada itu, peguambela yang mewakili tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon untuk melakukan pemeriksaan balas saksi pada prosiding akan datang memandangan beliau kesuntukan masa bagi menyediakan diri untuk kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) pada Isnin depan.

Perbicaraan akan bersambung pada 8 November ini. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast