logo 1MDB
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Tan Sri Bustari Yusuf akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyelesaikan kes pelucutan hak wang berjumlah RM11.9 juta miliknya yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, mewakili Bustari selaku responden semasa prosiding kes tersebut hari ini yang dijadualkan untuk pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Kamarul Hisham berkata pihaknya membantah permohonan notis usul yang dikemukakan pendakwa raya bagi melucut hak wang tersebut kerana pemohon (pendakwaan) menggunakan kaedah yang salah dalam memfailkan saman tersebut.

Pada masa sama peguam itu berkata pihaknya akan menyerahkan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat dan mahkamah menetapkan 1 Nov untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan mengenai representasi berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat berkata sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran kes itu, namun pihaknya menerima hujahan bertulis daripada responden dua hari lepas.

“Kami memerlukan masa untuk mengkaji dan menyediakan jawapan kerana terdapat isu penting yang dimasukkan dalam hujahan bertulis pihak responden yang membuat bantahan awal terhadap permohonan yang telah difailkan oleh pemohon (pendakwaan),” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast