Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Esok, Malaysia akan memasuki era baru dengan pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama- satu paradigma yang akan memandu pembangunan sosio-ekonomi negara sehingga 2030.

Wawasan yang dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu akan memacu pembangunan negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif buat semua rakyat Malaysia.

“Malaysia berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat dari perang perdagangan. Wawasan ini akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan.

“Wawasan ini akan memberi suntikan baharu supaya ekonomi negara melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi, memperkasa kuasa beli rakyat dan merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama akan menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat serta memantapkan kestabilan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik.

“Keindahan Kemakmuran Bersama akan menyerlah apabila jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang.

“Walhasil, Wawasan Kemakmuran Bersama adalah fajar yang terbit dalam era Malaysia Baharu demi menjamin pembelaan dan mengangkat martabat rakyat,” kata Mohamed Azmin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast