RIYADH – Arab Saudi membenarkan lelaki dan wanita warga asing menyewa bilik hotel secara bersama tanpa perlu membuktikan mereka mempunyai pertalian kekeluargaan, selepas negara itu melancarkan rejim visa pelancongan baharu bagi menarik pelancong.

Golongan wanita, termasuk warga Arab Saudi, juga dibenarkan menyewa bilik hotel untuk diri mereka, berikutan kelonggaran peraturan sebelum ini.

Langkah tersebut dilihat membuka jalan untuk wanita yang tidak ditemani mengembara dengan mudah dan pelancong asing yang tidak berkahwin tinggal di Negara Teluk itu di mana hubungan tanpa perkahwinan dilarang.

Semalam, Serunanjaya Pelancongan dan Warisan Nasional mengesahkan laporan akhbar, Okaz dengan menyatakan: “Semua warga Arab Saudi diminta menunjukkan pengenalan keluarga atau bukti hubungan sebelum mendaftar masuk ke hotel. Ia tidak perlu untuk warga asing. Semua wanita, termasuk warga Arab Saudi, boleh menempah dan tinggal di hotel bersendirian, dengan menunjukkan pengenalan semasa daftar masuk,”.

Pada minggu lalu, Arab Saudi membuka pintunya kepada pelancong asing dari 49 negara ketika ia cuba mengembangkan sektor perlancongan dan mempelbagaikan sektor ekonomi daripada bergantung kepada hasil eksport minyak. Negara itu mengisythiar semua pelawat tidak perlu berhijab tetapi perlu berpakaian sopan. Pengambilan minuman keras tetap dilarang. – Agensi