Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid. - foto SYAFIQ AMBAK, 28 NOVEMBER 2018.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) tugasan di kawasan rusuhan atau demonstrasi bagi mempertingkat aspek keselamatan semua pihak.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, penambahbaikan itu meliputi pelbagai aspek termasuk perlindungan diri, peralatan, kesiapsiagaan dan latihan.

Beliau berkata SOP yang ditambah baik itu telah diedarkan kepada setiap negeri dan sesi jelajah turut dijalankan bagi memberi penerangan berkaitan falsafah serta tafsiran arahan oleh barisan pegawai kanan operasi kepada anggota serta kakitangan.

“Selepas berlakunya kejadian yang menimpa arwah Muhammad Adib (Muhammad Adib Mohd Kassim), kita telah menubuhkan jawatankuasa khas dalam JBPM yang berkecuali untuk menyiasat dan melihat aspek-aspek penambahbaikan termasuk juga kolaborasi dengan agensi-agensi lain.

Mereka (jawatankuasa khas) telah bentangkan kertas tersebut kepada pihak dalaman JBPM dan beberapa faktor untuk kita tambah baik SOP yang melibatkan ketenteraman awam bagi keselamatan semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah JBPM 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini hari ini.

Di samping itu Mohammad Hamdan berkata, JBPM telah membelanjakan sebanyak RM25 juta setahun untuk tujuan latihan termasuk latihan melibatkan keadaan luar jangka kepada pegawai dan anggotanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan JBPM bagi Belanjawan 2020 yang telah dikemukakan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Katanya, permintaan itu termasuk kelengkapan logistik, aset, sumber manusia, pemodenan dan kolaborasi penyelidikan bagi memperkasakan tugas-tugas kebombaan.

“Kita juga mahu aspek kebajikan serta keselamatan pekerja diambil perhatian. Ia termasuk elaun perkhidmatan yang telah kita tuntut sejak 2015 untuk semua pegawai serta anggota terendah seperti mana yang dinikmati oleh kakitangan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan tentera,” katanya.

Terdahulu, Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah JBPM 2019 menyaksikan Perak muncul juara selepas menewaskan Sabah 3-1 pada perlawanan akhir pagi tadi dan diikuti pasukan Terengganu di tempat ketiga. – Bernama