Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas mendesak kerajaan menerbitkan laporan terperinci jumlah pegangan ekuiti orang Melayu dan Bumiputera untuk pengetahuan umum.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pakatan Harapan (PH) telah berjanji laporan tersebut akan dimasukkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun namun pada tahun lepas janji itu tidak ditunaikan.

Kata beliau, parti itu terkejut dengan pendedahan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera yang tidak mencapay sasaran seperti yang diucapkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 hari ini.

“Setelah 50 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dengan pelbagai program dan tindakan, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera hanya mencapai separuh daripada objektif yang telah disasarkan (30 peratus).

“Penurunan tujuh mata peratusan iaitu daripada 23 peratus pada tahun 2011 kepada 16 peratus pada tahun 2015 dalam pemilikan ekuiti korporat Bumiputera amat menyedihkan,” katanya dalam kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, statistik itu membuktikan dasar afirmatif mesti diteruskan dan pelbagai kelompongan hendaklah diatasi.

“Isu Ali Baba, ‘rent-seeking’, ‘patronage’ dan rasuah hendaklah dibanteras sepenuhnya,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, ekuiti korporat milik warga asing meningkat secara mendadak daripada 37 peratus kepada 45 peratus yang mana ia melepasi sasaran 30 peratus yang telah ditetapkan kerajaan.

Tanbahnya, kerajaan perlu menyemak semula keadaan ini dan mengatur strategi yang lebih wajar agar kedudukan pemilikan ekuiti korporat dapat diselaraskan sepertimana yang telah digariskan sebelum ini.

Jelas beliau, statistik semasa juga menunjukkan kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera masih jauh ketinggalan. – MalaysiaGazette