Setiausaha Pemilik-Pemilik Tanah dan Pewaris Tanah Kampung Baru, Zainudin Ismail (dua kiri) berbincang sesuatu dengan pemilik tanah pada Majlis Perjumpaan Pemilik Tanah dan Pewaris Tanah Kampung Baru di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kumpulan Pewaris Kampung Baru hari ini melahirkan rasa kecewa apabila pihaknya tidak dilibatkan dalam Kongres Maruah Melayu esok berhubung masa depan tanah tradisi itu.

Setiausahanya, Zainudin Ismail menegaskan, isu tanah Kampung Baru merupakan salah satu kepentingan orang Melayu yang kian terancam dan sewajarnya diberi laluan untuk dibincangkan dalam perhimpunan Melayu itu.

“Kalau dia berbincang atau kami salah satu daripada jawatankuasa itu (Sekretariat KMM) kita boleh bincang di sini.

“Kami langsung tak dijemput, jadi rasa tak adil kalau tanya kepada saya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pewaris menuntut daripada kerajaan agar pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru dilibatkan secara langsung dalam pembangunan semula kampung tradisi Melayu itu.

“Kami ingin bersama kerajaan sebagai rakan kongsi.

“Tanah kami boleh dijadikan modal kepada projek pembangunan semula Kampung Baru.

“Lebih tinggi nilai tanah maka lebih besar modal dapat dihasilkan dan lebih besar pelaburan ke atas pembangunan boleh dilakukan oleh pemilik tanah dengan jangkaan pulangan yang besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast