Donald Trump. foto Agensi

NEW YORK – Sekumpulan pengodam yang dikaitkan dengan kerajaan Iran didakwa mensasarkan serangan siber terhadap pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020.

Perkara itu didedahkan syarikat perisian Microsoft.

Kumpulan pengodam itu dikatakan menyerang lebih 200 akaun emel dan ada antaranya milik individu yang berkait rapat dengan kempen presiden AS.

Kumpulan pengodam mensasarkan kempen pemilihan semula presiden Donald Trump tahun depan, kata sumber terdekat Microsoft kepada Reuters.

Bagaimanapun Iran tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan dakwaan itu.

Jurucakap kempen Trump mendakwa setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang petunjuk ke arah itu seperti yang didakwa Microsoft.

Kenyataan Microsoft berbunyi: “Hari ini kami berkongsi mengesan aktiviti siber secara signifikan oleh puak pengancam bernama Phosphorus yang mana kami percaya berasal dari Iran yang dikaitkan dengan kerajaan Iran.

“Phosphorus telah melakukan lebih 2,700 cubaan mengenalpasti e-mel orang dalam tempoh 30 hari pada Ogos dan September lalu dan ia menyerang 241 akaun e-mel.

“Kesemua akaun sasaran pengodam itu adalah berhubung dengan kempen Presiden AS, pegawai lama dan baharu kerajaan AS, wartawan yang membuat liputan politik global dan warga Iran yang menetap di luar Iran,” kata Microsoft dalam kenyataan itu.

Ketika ini 19 pemimpin parti demokrat tersenarai sebagai calon parti itu dan tiga daripada mereka membuat ketetapan untuk mencabar Trump pada 2020

Namun kenyataan itu tidak merumuskan secara spesifik kempen mana yang disasarkan.

Bagaimanapun Reuters melaporkan kempen pemilihan semula Donald Trump adalah sasarannya. – MalaysiaGazette