KIEV – Pendakwaraya-pendakwaraya Ukraine akan menyemak semula 15 siasatan berkaitan pengasas syarikat gas Burisma yang pernah dijalankan sebelum ini.

Anak bekas Naib Presiden Amerika Syarikat yang juga calon pilihan raya Presiden 2020, Joe Biden merupakan ahli lembaga pengarah syarikat berpangkalan di Ukraine itu sehingga tahun ini.

Ini merupakan petunjuk konkrit bagaimana Ukraine merancang untuk mengendalikan siasatan yang dipantau ketat oleh Washington.

Trump sebelum ini pernah meminta Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy untuk menjalankan siasatan ke atas Biden dan anaknya Hunter dan sesiapa yang mendapat wang daripada Burisma.

Panggilan telefon yang dibuat pada Julai itu telah mencetuskan siasatan pemecatan sama ada Trump telah menggunakan kuasa politik peribadinya untuk meminta negara luar menyiasat salah seorang daripada pesaing utamanya.

Joe Biden merupakan pendahulu bagi calon Parti Demokratik bagi pilihan raya presiden tahun depan.

Pendakwaraya kanan baharu Ukraine, Ruslan Ryaboshapka memberitahu Reuters, beliau tidak sedar sekiranya terdapat sebarang bukti yang mengaitkan salah laku Hunter Biden.

Bagaimanapun, pejabatnya membuat pengumuman akan menyiasat sama ada terdapat kes-kes lama yang melibatkan pengasas Burisma, Mykola Zlochevsky dijalankan dengan baik.

“Sekiranya didapati prosiding tersebut ditutup kerana penyalahgunaan undang-undang atau berlaku sebarang pelanggaran prosedur, kami akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata pejabat Ryaboshapka dalam satu kenyataan.