Alice Lau

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen DAP, Alice Lau disebut-sebut dilantik sebagai Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Ia bagi menggantikan Lee Lam Thye yang tamat kontrak baru-baru ini.

“Baru-baru ini lembaga pengarah diberi taklimat oleh Pengarah Eksekutif Niosh yang Alice Lau akan menjadi pengerusi seterusnya,” kata salah seorang sumber yang dipetik Malaysiakini.

Menurut portal itu, Lau mengesahkan telah dihubungi pejabat Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkenaan tawaran itu.

Bagaimanapun, Lau berkata, beliau belum menerima tawaran secara rasmi.

Ahli Parlimen itu juga enggan mengulas perkara itu lebih lanjut sama ada beliau akan menerima tawaran itu kerana janji manifesto Pakatan Harapan untuk tidak melakukan lantikan politik dalam agensi berkaitan kerajaan selagi tidak menerima surat tawaran.

“(Panggilan) daripada pejabatnya (Kulasegaran). Saya hanya akan komen selepas menerima surat,” katanya. – MalaysiaGazette