Sebahagian peserta yang hadir mengibarkan jalur gemilang pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Kerajaan perlu memansuhkan pelaksanaan sistem sekolah vernakular kerana ia tidak memupuk perpaduan di negara ini.

Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim yang menjadi pembentang resolusi Kluster Pendidikan berkata, kerajaan harus terus komited kepada agenda perkasakan sekolah kebangsaan.

Katanya, hanya sekolah satu aliran sahaja yang dapat mendidik serta memupuk integrasi nasional dalam kalangan generasi yang bakal mewarisi negara ini.

“Sekolah vernakular, contohnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, mereka menggunakan bahasa pengantar berbeza.

“Oleh itu, pemansuhan sekolah vernakular perlu dibuat dalam tempoh enam tahun kerana pendidikan telah dikenalpasti sebagai satu kunci utama kepada penyatuan perpaduan antara kaum,” katanya.

Beliau menambah, sekolah-sekolah berkenaan perlu diwajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk murid Tahun Satu pada tahun 2021, Tahun Dua untuk 2022 dan seterusnya sehingga 2026.

Jadi, menjelang tahun 2026, semua sekolah akan menjadi satu aliran, tambah Nurul Fatin.

Dalam pada itu Nurul Fatin Aqilah turut mencadangkan agar Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dikembalikan kepada anak Melayu dan Bumiputera dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah, Petronas dan Bank Rakyat juga diminta memberikan biasiswa mereka kepada anak Melayu dan Bumiputera sahaja. – MalaysiaGazette