PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB Group), Datuk Seri Nazir Razak akan menerima notis kompaun bernilai RM25.7 juta selepas dipercayai memperolehi wang mengalir keluar dari salah guna akaun kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, adik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu merupakan antara individu tertinggi yang menerima jumlah kompaun mengikut Seksyen 92 (1) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).
Beliau menambah, entiti yang akan menerima notis kompaun tertinggi pula adalah Solar Shine Sdn. Bhd..
“Penerima kompaun perlu menjelaskan kompaun dalam tempoh dua minggu selepas notis dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Mengikut senarai, antara individu yang menerima notis kompaun adalah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.
Sementara itu, Nazir melepaskan jawatan dan pengerusi semua jawatan lain dalam kumpulan syarikat itu pada 31 Disember 2018.
Nazir telah berkhidmat di CIMB selama 29 tahun sejak 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan selama 15 tahun dan Pengerusi Kumpulan sejak 2014.
Di bawah kepimpinannya, CIMB berkembang daripada francais kewangan korporat menjadi bank pelaburan utama Malaysia, sebelum kemudiannya menjadi bank universal utama di ASEAN. – MalaysiaGazette