Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon kerajaan menyalurkan perutukan sehingga RM6 bilion kepada kementeriannya dalam Belanjawan 2020.

Beliau berkata, penyediaan dana berkenaan penting untuk mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan kepada golongan anak muda bagi tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

“Saya ada mohon dana bersama dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melalui salah satu GLC yang terkemuka di Malaysia.

“Cadangan datang daripada mereka yang boleh mencipta 250,000 peluang pekerjaan khususnya bagi kategori golongan anak muda dan kita meminta minimum RM6 bilion dalam tempoh masa 4 hingga 5 tahun,” katanya pada kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu Syed Saddiq merasmikan Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2019 bertajuk Kesejahteraan Belia Harapan Masa Depan di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, di sini.

Menurut beliau, peruntukan tambahan juga perlu diberikan kepada kementeriannya dalam menangani kadar pengangguran tinggi dalam kalangan anak muda yang mencecah 500,000 orang.

“Saya harap ada suntikan dana yang besar untuk memastikan swasta, korporat dan kerajaan boleh mencipta peluang pekerjaan yang baru dan berkualiti tinggi.

“Sebab di Malaysia sekarang sekitar 500,000 anak muda yang mengganggur, 200,000 tenaga mahir yang ada ijazah dan diploma manakala lagi 300,000 tidak mahir.

“Saya sudah ketengahkan perkara ini sudah lama dalam mesyuarat khas Kabinet anak muda, dalam Kabinet dan baru-baru ini dalam perjumpaan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng dan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahriza,” katanya lagi. – MalaysiaGazette