T. Narenasagaran

GEORGE TOWN – Kejadian tembak membabitkan seorang pemandu jentera angkat susun sebuah kilang di hadapan sebuah apartmen di Taman Inderawasih, Perai dekat sini awal pagi semalam dipercayai berpunca daripada dendam dan berkaitan geng kongsi gelap.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran hari ini berkata berdasarkan siasatan awal polis juga tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut juga berpunca daripada perebutan kawasan menjual dadah antara mangsa dan satu lagi kumpulan menjual dadah.

“Berdasarkan hasil siasatan awal dan semakan polis mendapati mangsa yang ditembak dalam kejadian itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan kami tidak menolak kemungkinan insiden tembakan itu di sebabkan beberapa faktor termasuk kerana berebut kawasan jual dadah, dendam serta kongsi gelap.

Namun siasatan lanjut dan terperinci masih dijalankan termasuk mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan saksi yang melihat insiden tembakan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 29 tahun yang merupakan rakan kepada mangsa serta pengawal keselamatan di apartment itu yang turut berada di lokasi kejadian semasa insiden tembakan tersebut bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Mereka ditahan semalam dan polis mendapat perintah tahanan reman sehingga 9 Okt ini untuk menahan dua lelaki tersebut,” katanya.

Narenasagaran berkata semakan terhadap kereta Proton Waja dan Perodua Myvi yang digunakan suspek dalam kejadian itu mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.08 pagi itu, pemandu jentera angkat susun sebuah kilang berumur 26 tahun itu cedera parah selepas ditembak lelaki tidak dikenali dalam kejadian di hadapan sebuah apartmen di Taman Inderawasih, Perai di sini.

“Siasatan kami juga tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak mangsa menggunakan senjata jenis revolver berikutan polis tidak menemui sebarang kelongsong peluru di lokasi kejadian,” katanya.

Narenasagaran ditemui selepas program ‘Penang Heart Safe with Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyerahan peralatan Defibrilator Luaran Automatik (AED) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin dan turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Asmayani Khalib.

Pada program itu, PDRM Kontinjen Pulau Pinang menerima peralatan AED daripada badan bukan kerajaan (NGO), Lions Club of Georgetown Central bagi kegunaan bantuan kecemasan.

— BERNAMA