Dr. Mohd Aluwi Sari
Dr. Mohd Aluwi Saari

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa supaya menghentikan bersikap retorik dengan mempamerkan konon berjiwa Melayu, sedangkan beliau tidak mempunyai kehendak politik untuk menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).

Malah, Perdana Menteri itu juga gagal dan apologetik apabila berdepan dengan desakan Dong Zong, DAP dan MCA untuk pengiktirafan Sijil UEC, disebabkan takut kehilangan undi bukan Melayu.

Menurut Pengerusi Biro Pendidikan Parti Putra Malaysia, Dr. Aluwi Saari, cadangan Kluster Pendidikan Kongres Maruah Melayu untuk melaksanakan program Sekolah Satu Aliran sudah lama disuarakan parti itu ketika sebagai NGO Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Bahkan, katanya, cadangan itu turut terkandung dalam Sumpah Keramat 10 Tuntutan Melayu Pribumi parti Putra, selain gesaan kepada kerajaan agar menolak Sijil UEC dan kembalikan hak biasiswa sepenuhnya kepada kaum pribumi.

“Perkasa dan sekarang parti Putra saban hari sejak dahulu lagi mendesak kerajaan melaksanakannya dengan segera sekiranya kerajaan benar-benar jujur dan ikhlas untuk melaksana dan memperjuangkan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) dalam satu aliran.

“Kalau kerajaan prihatin kepada DPK dan tegas seperti di Indonesia, pasti hari ini rakyat berbilang kaum sudah bersatu kerana pendidikan satu aliran membantu ke arah integrasi nasional dan Perlembagaan Negara dihormati,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Serentak itu, beliau mahu kerajaan berhenti dari beretorik, kerana rakyat semakin cerdik untuk menilai dan melihat betapa pemimpin Melayu sekarang ini pengecut dan tidak ada keberanian.

Dr. Aluwi yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra berkata, pihaknya akan tunggu dan lihat sejuah mana maruah Melayu diangkat atau sekadar bunyi guruh di langgit, air di tempayan dicurahkan.

Beliau turut menyeru umat Islam dan kaum pribumi menghayati serta menyokong Pemasyhuran Sumpah Keramat 10 Tuntutan Melayu Pribumi yang digagaskan oleh parti Putra. – MalaysiaGazette