Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengembalikan semula peruntukan-perutukan yang diberikan kepada golongan anak muda oleh Barisan Nasional sebelum Pilihan raya Umum (PRU) 14.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perutukan seperti bantuan kepada orang bujang, kad siswa dan baucer buku perlu dikembalikan dalam bentuk lain termasuk menaikkan kadar elaun pelajar Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET).

“Tidak adil bagi golongan anak muda kalau peruntukan yang disediakan oleh kerajaan lepas ditarik dan tidak labur semula kepada anak muda.

“Jangan kita tarik dan tidak kembalikan semula kepada anak muda. Bila kita sudah tiadakan, persoalannya kita nak gantikan dengan apa?

“Kalau kita dapat salurkan semula kepada penciptaan peluang perniagaan baru yang berkualiti tinggi, kita laburkan semula kepada TVET dan naikkan elaun mereka, elaun ini setiap bulan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu Syed Saddiq merasmikan Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2019 bertajuk Kesejahteraan Belia Harapan Masa Depan di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya peruntukan lepas boleh dikembalikan dan diberi kepada pelajar TVET, ia mampu menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan anak muda.

“Apabila mereka tamat pendidikan TVET, kadar pengangguran paling rendah antara 4 hingga 5 peratus, malah lebih rendah daripada universiti terkemuka di Malaysia.

“Saya rasa itu pelaburan paling baik, kita mesti beri balik dana kepada anak muda,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan pelajar TVET datang daripada keluarga golongan berpendapatan rendah atau lebih dikenali sebagai B40.

“Kebanyakan mereka yang menyertai TVET datang daripada keluarga B40 yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya

“Saya berharap kita boleh semak semula, elaun yang diberikan kepada anak-anak dalam pendidikan TVET.

“Saya mendesak elaun TVET dipertingkatkan, apabila mereka masuk latihan, mereka diberikan pembelaan dan latihan secukupnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette