Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di lobi Parlimen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali percaya rakyat masih memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun kaji selidik Merdeka Center mendapati populariti PH merudum 35 peratus.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, laporan tersebut hanyalah kaji selidik dan percaya rakyat masih berpegang kepada gabungan itu.

“Itu hanya tinjauan. Kami sentiasa menggunakan kaji selidik ini sebagai panduan mengenai isu dan sentimen rakyat dan isu-isu tertentu.

“Tetapi secara keseluruhan, saya yakin rakyat (masih) percaya PH adalah kerajaan yang betul dan mereka akan terus menyokong (kami),” katanya di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Presiden PKR itu menjawab pertanyaan wartawan mengenai keputusan kaji selidik oleh Merdeka Center yang tidak memihak kepada PH.

Untuk rekod, peratusan itu merupakan kadar populariti terendah yang pernah direkodkan sejak PH mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

Memetik laporan portal berita, PH meraih populariti 87 peratus semasa merampas Putrajaya pada Mei tahun lalu, dan peratus itu mula merudum sehingga 35 peratus.

Berdasarkan statistik Merdeka Center, kata sumber, setakat Ogos populariti PH dalam kalangan pengundi Cina dan India jatuh ke 41 peratus, manakala 30 peratus pengundi Melayu masih menyokong gabungan itu. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Sokongan rakyat merosot? Ramai nak bersalam, ambil gambar – Tun M

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast