Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA – Harga bagi RON95 akan mula diapungkan awal tahun hadapan berikutan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP).

Perkara itu dinyatakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberitahu, harga petrol itu akan dikekalkan pada kadar RM2.08 seliter sehingga 31 Disember depan.

“Bermula tahun 2020, harga petrol RON 95 akan diapungkan secara berperingkat (gradual) sehingga setara dengan harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pengumuman program Subsidi Petrol di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, penduduk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal menikmati harga RM2.08 seliter kerana dikecualikan PSP.

“Kerajaan mengambil kira keperluan penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan yang kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.

“Oleh itu rakyat di sana dikecualikan daripada PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95,” ujarnya.

Dalam pada itu, menjawab kebimbangan rakyat terhadap peningkatan harga barangan berikutan pelaksanaan pengapungan harga RON 95, Saifuddin berkata, KPDNHEP akan meneruskan tugas kementerian itu melakukan pemantauan.

“KPDNHEP mempunyai 3,000 kakitangan dan 2,300 pegawai pemantau harga di seluruh negara. Kami akan terus meneruskan kerja hakiki kementerian.

“Sekiranya terdapat kenaikan harga tidak munasabah, orang awam boleh melaporkan aduan melalui 1800-886-800, aplikasi telefon pintar EzADU, atau whatsapp 019-2794317,” ujarnya. – MalaysiaGazette