Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong bercakap kepada media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menempelak tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berdiam diri berhubung gesaan wakil dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) supaya kerajaan menghapuskan sekolah venekular secara berperingkat.

Ka Siong berkata, tindakan kepemimpinan tertinggi DAP yang diam membisu tanpa memberi komen terhadap resolusi dilihat canggung kerana DAP kini mempunyai kuasa untuk membantah perkara itu.

“Saya juga berharap rakan media meminta komen daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang. Mereka hanya membisu sahaja melibatkan isu ini.

“Namun apa yang mengejutkan saya ialah kongres itu dianjurkan oleh universiti awam. Orang paling penting adalah (Menteri Pendidikan), Dr. Maszlee Malik. Timbalannya tidak lain tidak bukan, Nie Ching. Kenapa senyap sahaja?,” soal Ka Siong.

Justeru itu beliau berkata, samada kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di kongres itu dipersetujui oleh gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Anda menjadi kerajaan sekarang. Adakah kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad mewakili polisi kerajaan sekarang? Apakah pula pendirian mereka mengenai isu ini?,” katanya, hari ini.

Semalam, Nurul Fatin Aqilah Rahim yang mewakili UPSI berkata langkah menghapuskan sekolah aliran Cina dan Tamil itu penting demi perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Nurul Fatin berkata, sekolah venekular boleh dimansuhkan sepenuhnya menjelang 2026. -MalaysiaGazette