Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta kerajaan agar memberikan tumpuan khas kepada isu kemiskinan pada Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada hari Jumaat ini.

Malah, PKR juga menyarankan supaya wacana Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) khususnya isu kemiskinan ini dijadikan akar perbahasan di setiap Dewan Undangan Negeri pada perbahasan belanjawan di setiap negeri.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, secara dasarnya PKR menyeru semua pihak memberi penekanan kepada isu keadilan sosial, yang mana pengagihan kekayaan negara harus diagihkan secara adil dan saksama.

Statistik-statistik berkaitan kemiskinan yang dijana oleh pihak-pihak yang bertanggung jawab haruslah merentas wilayah, tidak mengelirukan serta dipenghujungnya perlu ada titik pertemuan dan kesepakatan.

Menurutnya, PKR khuatir apabila Vietnam menunjukkan peningkatan ekonomi yang cukup pantas sedangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kelihatan agak terbantut sejak 10 tahun yang lalu.

Sekiranya ini berterusan, kemungkinan Malaysia akan ketinggalan di belakang Vietnam dan Indonesia.

Sehubungan itu, PKR berpendapat adalah amat wajar WKB2030 memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi sejahtera khususnya kepada masalah kemiskinan rakyat.

Katanya, isu perumahan rakyat juga harus diberikan perhatian yang serius dan mendalam memandangkan kebelakangan ini kerajaan dilihat seolah-olah menyebelahi puak-puak tertentu yang hanya ingin mengaut keuntungan atas jualan-jualan rumah mewah yang langsung tidak mampu dimiliki oleh rakyat kebanyakkan.

Projek perumahan awam dan mampu milik harus dilipat gandakan dan harga asas rumah mampu milik ini harus disemak dan dikaji semula bagi memastikan bayaran pinjamannya tidak membebankan pembelinya pada setiap hujung bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast