Datuk Kamarudin Jaffar

KUALA LUMPUR – Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 (DPN) yang akan dilancarkan pada 17 Oktober ini bakal membawa semula visi Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan awam terbaik kepada rakyat.

Selain itu, ia juga bakal membawa semula hasrat negara menjadi hab pengangkutan awam terbaik sekurang-kurangnya di peringkat serantau.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, dasar yang merangka hala tuju tiga mod pengangkutan di negara ini iaitu darat, udara dan laut untuk tempoh 10 tahun itu merupakan dasar pertama seumpamanya yang dilancarkan di negara ini.

“DPN adalah satu dasar yang meliputi keseluruhan dasar-dasar (yang melibatkan tiga mod pengangkutan tersebut) ini.

“Ia dirancang bersandarkan kepada kepada anggaran keadaan pengangkutan dan keperluan pengangkutan 10 tahun akan datang,” katanya selepas taklimat pengarang di sini hari ini.

Tambah Kamarudin, selepas DPN dilancarkan nanti, rakyat akan dapat melihat perubahan berlaku terhadap sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Antara lain DPN menyediakan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi untuk membangunkan sektor pengangkutan.

Selain itu, ia juga akan memastikan pelan pengangkutan mengikut sektor adalah melengkapi satu sama lain. -MalaysiaGazette