Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan pesta pendidikan pelabur utamanya, InvestSmart® Fest 2019 bertemakan “Invest Smart” atau “Bijak Labur” pada 18-20 Oktober 2019 di Dewan 1 Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur.

Bertujuan untuk melengkapkan pelabur dengan asas-asas dalam membuat keputusan pelaburan yang kukuh, InvestSmart® Fest tahunan selama tiga hari tersebut akan memberi peluang orang ramai mempelajari tentang pelbagai peluang pelaburan dan memahami cara untuk melindungi diri daripada penipuan pelaburan atau skim pelaburan haram.

Penyertaan masuk adalah percuma, kata SC dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, Bursa Malaysia Berhad, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) merupakan rakan kongsi acara bagi InvestSmart® Fest pada tahun ini.

InvestSmart® Fest 2019 mengetengahkan gerai pameran lebih 50 institusi pasaran modal, pengantara, agensi-agensi berkaitan, peserta industri dan persatuan di bawah satu bumbung serta ceramah dan seminar oleh para pakar industri.

Pengunjung juga boleh memperoleh pendedahan kepada pembiayaan berasaskan pasaran alternatif seperti pendanaan ekuiti ramai, pembiayaan rakan setara, syarikat pengurusan pelaburan digital dan bursa aset digital di dalam “Digital Pavilion” yang khusus.

Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, orang ramai boleh mendaftar untuk penilaian perancangan kewangan secara percuma oleh para perancang kewangan berlesen di gerai pameran “#FinPlan4u” ketika InvestSmart® Fest 2019.

Pada tahun ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan menyertai #FinPlan4U dan menyediakan kaunter khidmat nasihat persaraan.

Memandangkan permintaan yang tinggi dan ruang yang terhad, orang ramai digalakkan untuk mendaftar minat mereka di www.investsmartsc.my.

Bersempena dengan InvestSmart® Fest 2019 ini, SC juga akan menganjurkan ScamBuster Walk Hunt, pada 20 Oktober 2019, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai skim pelaburan haram melalui aktiviti pendidikan yang menyeronokkan.

Semua kutipan daripada acara ini akan disalurkan kepada SC Heart, iaitu inisiatif tanggungjawab sosial korporat pengawal selia tersebut.

ScamBuster Walk Hunt, akan bermula di MaTiC Amphitheatre, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan tamat di Dewan 1 di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur, menawarkan hadiah wang tunai yang menarik.

Penyertaan terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 12 tahun ke atas. Pendaftaran kini dibuka sehingga 14 Oktober
2019 di https://www.sc.com.my/scambusterwalkhunt. – MalaysiaGazette