Ahli Qariah Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Marzuki Johar bercakap pada sidang media menjawab kenyataan akhbar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkenaan ketirisan kewangan Masjid Sultan Abdul Aziz Jalan Templerdi Koperasi Melayu Petaling Berhad, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 OKTOBER 2019

PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) didakwa tidak pernah konsisten dalam usaha mengambilalih pentadbiran Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz (MJSAA).

Ahli Gagasan Bertindak MJSAA, Marzuki Johar berkata, perkara itu dapat dilihat dengan jelas menerusi beberapa keputusan yang dibuat oleh jabatan itu.

Beliau mendakwa, JAIS tidak pernah menganggap serius segala aduan yang dibuat oleh kariah malah telah mewujudkan terminologi berubah-ubah terhadap isu penyenggaraan masjid yang sememangnya melibatkan penggunaan kewangan rumah ibadat itu.

“Mula-mula dicipta terminologi masjid bermasaalah, pembohongan yang ketara kerana MJSAA sudahpun ditaraf empat bintang.

“Kemudian JAIS mengusulkan pula gabungan ayat membaik pulih. Tetapi sebelum sempat dihadami oleh kariah, datang pula ciptaan agong JAIS menaik taraf.

“Dari urutan peningkatan masjid ini, kita boleh lihat cara JAIS mengambilalih kuasa pentadbiran dengan cara halus dan tidak tulus. Mana mungkin semua perubahan ini boleh berlaku dalam masa enam bulan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Marzuki berkata, perkara-perkara lain yang turut dilakukan oleh JAIS ialah apabila timbul muslihat terhadap keputusan pemilihan ahli jawatankuasa masjid yang sepatutnya dipilih dalam kalangan ketua-ketua pentadbir di masjid itu sendiri.

Sebaliknya kata beliau, pengisian terhadap jawatan-jawatan itu telah memilih mereka yang didakwa merupakan kroni-kroni berkepentingan di dalam JAIS.

Banyak lagi perkara-perkara bercanggah yang dilakukan oleh pihak-pihak berkepentingan di dalam JAIS melibatkan masjid berkenaan hingga boleh meruntuhkan keharmonian masjid sebagai tempat penyatuan bagi orang Islam.

Ujarnya, perkara seperti itu tidak sewajarnya berlaku kerana ia hanya akan meninggalkan kesan buruk terhadap jabatan yang sepatutnya menjadi tonggak kepada pentadbiran agama Islam di Selangor.

“JAIS sepatutnya hanya mengawasi dan menyelia beratus-ratus masjid di bawahnya dan bukan campurtangan dalam perjalanan masjid.

“JAIS tidak sepatutnya menghalang kariah daripada mengadakan Mesyuarat Agung seperti termaktub dalam undang-undang Negeri Selangor, serta tidak boleh menidakkan hak kariah untuk mengetahui kewangan dan perbelanjaan masjid kerana itu merupakan wang sumbangan daripada kariah,” ujarnya.

Kata beliau, pihaknya akan berusaha agar segala kelemahan yang didedahkan dapat diatasi dan tanggungjawab mentadbir masjid dapat dipulangkan kembali kepada kariah. – MalaysiaGazette